Info Kampung

Lokasi Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal

 

SEJARAH KAMPUNG BELIMBING DALAM

Tiada catatan sejarah dikesan siapa dan bila Kampung Belimbing Dalam dibuka. Namun, adalah dijangkakan kampung ini telah diteroka kira-kira 200 tahun lampau oleh sekumpulan pejuang Melayu dari Pegawai Istana Melaka yang berpangkat Temenggung.

Oleh kerana Bandar Melaka pada masa itu telah diserang oleh Portugis (1511) dan Belanda (1641), orang Melayu Melaka tidak mendapat tempat lagi di Melaka setelah rajanya diusir/meninggalkan Melaka, maka Dato’ Temenggung dan pengikutnya lari mudik ke hulu Melaka mencari tempat berlindung/bertahan dari serangan musuh, lalu meneroka kampung ini.

Dalam masa menebang dan menebas hutan belukar yang kebanyakannya dipenuhi pokok rumbia serta laluan binatang liar seperti gajah bagi menjadikan kampung, mereka menjumpai pokok BELIMBING yang jauh (DALAM) ke dalam hutan serta jauh dari sungai (Sungai Melaka) tempat laluan mereka.

Lantas mereka namakan tempat ini KAMPUNG BELIMBING DALAM kekal sehingga ini. Sehingga ke hari ini juga penduduk Kampung Belimbing Dalam juga mengikut adat istiadat ‘TEMENGGUNG’, sebaliknya kampung jirannya, Kampung Pantai Belimbing dan Kampung Parit Melana mengamalkan adat PEPATIH.

SUMBER:

  1. ABU Hashim bin Ahmad, Pengerusi JKKK Kampung Belimbing Dalam pada 7/9/99 jam 6.00 petang di kediamannya.
  2. HAJI ABU bin Ibrahim, Imam. 1994. "Cikgu Abdul Rahman Md Yusof - Profil Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam.

 

LOKASI

Kampung Belimbing Dalam terletak kira-kira 19 km dari bandar Melaka, 11 km dari pekan Alor Gajah dan 4 km dari pekan Durian Tunggal.

PERHUBUNGAN:

Kampung ini boleh dihubungi melalui jalan raya.  Sementara semua solok-solok di kampung ini juga boleh dihubungi melalui jalan kampung yang sudah dinaikkan taraf.

KELUASAN DAN KEPENDUDUKAN:

Keluasan Kampung Belimbing Dalam ialah 366 hektar atau 904 ekar persegi.  Penduduk kampung adalah seramai 2,106 orang.  Kampung ini juga mempunyai 420 buah rumah kediaman dengan majoriti lebih 99% penduduk Melayu dan 1 % terdiri daripada kaum Cina.

Punca pendapatan utama penduduk di kampung ini ialah bekerja dengan agensi kerajaan, swasta, penoreh getah, petani, penternak dan selebihnya adalah pesara. Kebanyakan mereka bekerja di Bandar Melaka, kawasan perindustrian seperti di Batu Berendam, Ayer Keroh dan Alor Gajah. Terdapat juga mereka yang mengusahakan perusahaan sendiri seperti menanam sayur-sayuran, industri kecil-kecilan dan berniaga.

LATAR BELAKANG PEMBANGUNAN:

Dalam menggerakkan pembangunan fizikal, kerohanian dan pembangunan ummah UMNO bersama Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita Cawangan Kampung Belimbing Dalam yang merupakan badan siasah telah merancang pembangunan berkenaan dan menjaga kepentingan penduduk. K3P yang dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan badan-badan yang lain seperti Lembaga Masjid, PIBG, Persatuan Belia, Jawatankuasa LEKAS, Persatuan Kompang dan lain-lain memainkan peranan yang sama memajukan kampung dan menyatukan masyarakat di dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan.

 

KEMUDAHAN SEDIA ADA:

Masjid Kg. Belimbing Dalam.

Di antara kemudahan yang terdapat di Kampung Belimbing Dalam adalah:-

Kemudahan Asas Jumlah
Bekalan Elektrik 100%
Bekalan Air 100%
Sekolah Kebangsaan sebuah
Sekolah Rendah Agama sebuah
Masjid    sebuah
Balai Raya sebuah
Klinik Desa sebuah
Perpustakaan Desa sebuah
Sekolah Tabika         2 buah
Pondok Bas 8 buah
Telefon Awam 6 unit
Lampu jalan 66 unit
Padang Badminton  & Takraw 2 unit
Padang Permainan Kanak-kanak sebuah
Pili Bomba 7 unit
Surau sebuah
Jalan Kampung 15 batang